myNasyiD


Apa itu Nasyid?
Perkataan ‘nasyid’ atau ‘insyad’ berasal dari kata ‘nasyada’ yang bermaksud ‘untuk mencari’. ‘Nasyada’ dalam ‘ansyada’ yang bermaksud membaca puisi atau ayat-ayat dengan nada suara tinggi dan rendah seolah-olah bernyanyi zikir.

Sejarah Kemunculan Nasyid di Malaysia

Irama nasyid mula berkembang di Malaysia seiring dengan kemunculan kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpanya dan kebanyakannya terdiri daripada kalangan wanita berbeza dengan fenomena nasyid pada hari ini yang didominasi dari kalangan lelaki. Selain itu, dengan berkembangnya irama nasyid ini juga muncul kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an. 

Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanah air dengan album sulung mereka yang bertajuk ‘Puji-pujian’ yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi dan Siti Nurhaliza sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.

Faktor IKHLAS..

RAIHAN
                                                     

Apabila dikaji dan dinilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang boleh dicatitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat ikhlas diibaratkan seperti seekor semut hitam, yang berjalan diatas batu yang hitam di dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Disini dapat dinyatakan falsafahnya.

Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan disini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka, muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata.

“By Allah’s Will”

Sekiranya dikaji dari logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori ini langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated pada zaman sekarang. Kenapa dengan bertentangan dengan teori, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Maka bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah disimpulkan bahawa, sebagai muslim dan mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanya dan kekuasannya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita..’by Allah’s will’..

Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah

Hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logik akal dan nafsu. Hati-hati manusia digerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar lagu Raihan. Sehinggakan non-muslim dari luar negara mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.

Kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat: NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan loyalti mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa dengan populariti mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati mereka, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebaginya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.

Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “kun fayakun”.

Nasyid bukan dakwah?

Nasyid sebenarnya adalah salah satu cabang dakwah. Satu kesilapan sekiranya mereka mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikatakan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu nasyid? Kalau bukan islam sehingga memeluk islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid. Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, nabi Daud diberi mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka.

Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti hiburan. Maka, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadkan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya. Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba memastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pedengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Segalanya bermula dengan NIAT yang IKHLAS..by Allah’s Will...

Setelah fenomena yang dicetuskan kumpulan Raihan, maka semakin banyak kemunculan nasyid silih berganti yang muncul sehingga kini...

HIJJAZ

INTEAM

RABBANI
UNIC
AE-MAN
SAUJANA
NOWSEEHEART
SAFF ONE
DEVOTEES

MAWADDAH
SOLEHAH
FAR EAST
MIRWANA

Senandung Qalbu, Bisikan Nurani, Cetusan Nurani, seMANIS Syurgawi..

Alunan Al-Quran, Zikir, Doa dan Selawat by Ustaz Manis

1. Zikir Hasbiallah
2. Doa Selamat
3. Zikir Al-Hauqalah
4. Zikir As-Salam
5. Zikir Taubat
6. Doa Memohon Ilmu Dan Ketakwaan
7. Doa Ibu Bapa
8. Zikir Tahlil 1
9. Doa Memudahkan urusan
10. Selawat
11. Zikir Timbangan Amal
12. Zikir Ya Allah
13. Zikir Tahlil 2
14. Surah Yassin

Berminat boleh berhubung terus dengan Ustaz Manis 019-4408736 untuk melakukan tempahan. Alhamdulillah cd saya sudah dapatkan dan sangat memuaskan..teringat saya kenangan semasa berada di Asrama DarunNadwah Smk Sepagaya Lahad Datu..sungguh menggamit memori apabila mendengar semula alunan-alunan yang pernah meruntun jiwa di saat bersama-sama bermunajat dan melakukan qiamulail..subhanallah..rindunya saat itu..dengan mendengar alunan zikir dan kalimah2 Allah..insyaAllah hati kita akan lebih tenang...seperti dalam firman Allah:

" Orang-orang yang beriman dan tetap hati mereka dengan menyebut akan Allah, ketahuilah bahawasanya dengan menyebut akan Allah itu menenangkan hati."